Sunday 8 January 2012


Cara untuk mengatasi kekecewaan akibat putus cinta atau lain-lain.

Ternyata Islam itu sebuah agama yang syumul. Dari sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecil benda telah diajarkan kepada kita. Maka kerana itulah Islam itu merupakan Ad-din yakni satu cara hidup kerana ianya menyeluruh meliputi segala amalan, tingkahlaku dan aspek kehidupan manusia.
Seringkali kita mengalami kekecewaan apabila setiap apa yang kita idam-idamkan tidak menjadi kenyataan. Masalah berkaitan putus cinta, keruntuhan rumah-tangga hatta kematian orang yang kita sayang seperti suami, isteri, ibu, anak dan sebaginya.
Masing-masing punya cara sendiri untuk mengatasinya. Ada yang memilih untuk menyendiri. Ada yang memilih untuk meraung sekuat-kuat hati, ada pula yang memilih jalan yang salah bagi menghilangkan rasa kecewa misalnya dengan mengambil dadah, arak, atau cuma mencari hiburan dalam bentuk lain yang bercanggah dengan syariat islam semata-mata kononnya untuk melupakan kekecewaan yang lahir.
Hakikatnya, kita kecewa kerana kita merasakan kita berhak... kita merasakan sesuatu itu adalah milik kita mutlak... tanpa kita sedar yang segala sesuatu itu adalah amanah dan pinjaman dari Allah kepada kita.

Doa Putus Cinta (Doa bagi Mengatasi Kekecewaan)

Bila mengalami kekecewaan seperti putus cinta, putus tunang, bercerai suami isteri dan seumpamanya, maka ikhtiar yang boleh dilakukan untuk melupakan kekecewaan tersebut:-

Letak tapak tangan pada dahi atau dada, kemudian baca Ayat 39 : Surah Ar-Ra'ad -
39. Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab (Lauh mahfuzh).
Setelah selesai baca ayat ini, genggam tapak tangan, kemudian buat isyarat membuang. Wallahu A’lam

Sunday 1 January 2012


Saya teringat kepada satu pepatah Melayu yang begitu bermakna yang pernah diajarkan oleh guru Bahasa Malaysia semasa belajar di sekolah menengah dahulu yang berbunyi:
“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”
Saya tidak mampu mentafsirkan bahagian pertama pepatah ini akan kenapa pulut boleh membinasakan santan, tetapi saya amat pasti bahawa frasa seterusnya tidak memerlukan sebarang pentafsiran yang mengatakan bahawa kerana mulut badan boleh binasa.
Pepatah Melayu ini merupakan satu daripada ribuan khazanah peringatan yang ditinggalkan oleh nenek moyang kepada kita semua. Ia memperingatkan kepada kita bahawa perbuatan mengatakan atau mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana, bukan sahaja kepada diri sendiri bahkan juga terhadap orang lain.
Lidah dan pena adalah anugerah Allah kepada kita untuk berkomunikasi tetapi sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan dan penulisan yang mendatangkan keburukan seperti berdusta, menyebar fitnah dan bermaksud jahat yang membawa menjatuhkan maruah orang lain, apatah lagi kalau sesama Muslim.
Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan).” (Surah al-Balad: ayat 8-10)
Apakah di antara kesan-kesan daripada tidak menjaga tutur-kata?
1- Fakta-fakta tersebut mungkin salah dan kita akan menanggung dosa
2- Perkataan tersebut boleh menyebabkan saudara Muslim kita berkecil hati
3- Ukhuwah di kalangan sesama umat Islam kian tercalar
4- Menyukarkan usaha-sama di kalangan umat Islam
5- Boleh menyebabkan pergaduhan, perpecahan dan huru-hara
6- Nilai peradaban di kalangan umat Islam terkikis dan akan menyebar-luaskan dosa di kalangan umat
7- Kejayaan dan kegembiraan di pihak musuh-musuh Islam
Adalah lebih elok sekiranya kita membudayakan sikap berhati-hati dalam percakapan atau penulisan sehari-harian walaupun dengan menulis sebuah status baru di FB. Jika dikhuatiri tidak elok dan mungkin boleh memudaratkan, lebih baik kita berdiam diri. Ini akan mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati.
Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi jika ada orang tengah yang silap mendengar atau juga mungkin ‘batu api’ yang kemudiannya bertindak menyebarkannya. Bak kata pepatah ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.
Samada disedari atau pun tidak, lidah dan pena kita juga boleh menjadi alat penyebaran fitnah dan mengadu domba yang boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara di kalangan masyarakat Islam.
Allah telah mengingatkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud:
Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Surah al-Baqarah ayat 191)
Kita juga tidak mahu supaya kita termasuk di kalangan mereka yang dicelakakan oleh Allah swt sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela.” (Surah al-Humazah: 1)
Hanya orang yang berpekerti buruk akan melahirkan perkataan yang buruk walaupun dia mungkin berwajahkan seorang yang kelihatan soleh dan solehah. Manakala orang yang cerdik tidak akan mengeluarkan perkataan buruk apatah lagi ‘bermulut celupar’ yang secara langsung melambangkan kejelekan dirinya sendiri.
Ajarilah jiwamu untuk terbang tinggi, nescaya ia tidak akan suka dengan kerendahan. Kenalkanlah kepadanya kemuliaan, nescaya ia akan membenci kehinaan. Rasakanlah kepadanya kesenangan rohani yang besar, nescaya ia akan meremehkan kesenangan jasmani yang kecil. Ar-Raqaiq (Muhammad Ahmad ar Rashid)
Ayuh teman dan kenalan, mari fokuskan hati dan pemikiran kita kepada agenda-agenda besar yang akan menyumbang ke arah pembinaan jati-diri umat dan jauhilah tabiat suka berdebat, berhujah, bertengkar dan banyak berbicara yang tidak akan membawa kita berganjak ke mana-mana.
Marilah kita sama-sama membudayakan sikap menjaga lidah dan pena.
Ya Allah, bantulah kami dan umat Islam sekeliannya dalam mendepani ujian kehidupan ini… Amin Ya Rabb.