Sunday, 4 December 2011


MENILIK ATAU MERISIK
Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.

Saturday, 3 December 2011

KUNCI KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA




Akhir-akhir ini kerapuhan rumah tangga umat Islam semakin menjadi-jadi, lepas satu kes, timbul pula kes lain bagaikan tiada penghujungnya. Kita sedih malah marah setiap kali membaca laporan akhbar tentang perceraian artis saban hari. Namun tiada siapa yang tahu apakah punca di sebalik perceraian itu.





Selain artis, orang awam juga tidak terlepas daripada kes ini tetapi oleh sebab perceraian mereka tidak dilaporkan oleh media, kita anggap seperti tidak pernah berlaku. Padahal kalau kita rujuk kepada kes mahkamah syariah, golongan orang awam tidak kurang ramainya berbanding dengan artis. Mengapa begitu rapuh hubungan suami isteri dalam rumah tangga yang dibina padahal sesetengahnya memakan belanja jutaan ringgit. Setelah bersusah payah berhutang dan bergadai bergolok untuk mendapatkan seorang isteri idaman, tetapi sanggup melepaskannya hanya kerana sedikit salah faham.


Sebenarnya umat Islam telah diajar pantang larang dalam kehidupan rumah tangga oleh Rasulullah, tetapi semua itu tidak diendahkan oleh mereka. Mereka tidak mahu belajar daripada kejayaan orang terdahulu mengharung hidup dengan damai dan harmoni. Pasangan suami isteri seharusnya menghayati sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri ialah tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah.


Berdasarkan hadis ini isteri perlu menjaga hak suami, iaitu lima perkara:
1.Tidak meninggalkan tempat tidur suami, penting diberi perhatian oleh isteri. Islam tidak membenarkan isteri membiarkan suami tidur bersendirian kerana suami memerlukan belaian kasih daripada seorang isteri. Perlu dijelaskan di sini, tidur bersama tidak seharus difikirkan hanya untuk urusan seks sahaja. Seks mungkin tidak perlu tiap-tiap hari tetapi tidur tetap diperlukan setiap hari. Inilah ubat ketenangan bagi seseorang lelaki. Kajian terhadap beberapa kes perceraian mendapati kebanyakannya isteri tidak mahu tidur dengan suami atas pelbagai alasan. “Malu dekat anak-anak yang sudah besar, letih tidak mahu diganggu, tidak selesa kerana dah monopos dan dalam keadaan haid.” Ketahuilah, suami dalam keadaan itu akan mencari ketenangan di luar rumah. Kalau dia beriman mungkin dia boleh bersabar dan mengekang nafsunya. Mungkin kalau dia ada lebihan wang, itulah yang menjadi punca dia berkahwin wanita lain. Tetapi kalau dia tidak beriman, dia akan berfoya-foya dengan teman wanita lain secara haram. Hal ini kerana lazimnya lelaki suka didampingi oleh wanita. Kesannya, apabila isteri cemburu, dia minta cerai daripada suami tanpa mencari punca sebenarnya.


2. Menerima seadanya pemberian suami, juga penting bagi isteri kerana nafkah yang wajib bagi suami ialah sekadar yang termampu olehnya. Jika rezekinya banyak pasti dia memberi yang banyak, tetapi kalau dia dapat sedikit tentulah dia akan memberi kadar yang sedikit. Isteri yang memahami keadaan itu akan bersyukur dan berterima kasih walaupun kehendaknya belum tercapai. Sikap isteri ini memberi ketenangan kepada suami.


3. Mentaati perintah suami, kecuali jika suami meminta dilakukan sesuatu yang dilarang oleh Islam. Dalam konteks ini, seseorang isteri perlu memahami kehendak suami walaupun dia tidak memintanya. Sikap isteri yang cuba memahami kehendak suami sebelum dia meminta tentu akan lebih dikasih. Dia dikatakan pasangan sehati sejiwa.


4. Meminta izin suami ketika hendak keluar rumah. Pada hari ini bagi isteri yang bekerja di sesuatu pejabat, jika diperintah bos untuk urusan di luar pejabat dia perlu juga meminta izin suami. Tidak susah untuk meminta izin kerana kemudahan teknologi kini semuanya tidak ada yang mustahil. Telefon ada, sms boleh, e–mel pun boleh. Tetapi perlu diingat, meminta izin tidak sama dengan memberi tahu. Maka sekadar memberi tahu tidak termasuk dalam kategori meminta izin.


5. Tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. Orang dibenci suami boleh jadi lelaki atau perempuan. Hakikatnya mereka yang dimaksudkan itu ialah golongan yang boleh merosakan hubungan suami isteri. Percayalah kalau isteri boleh lakukan semua itu sepanjang hidup bersama suami, suami akan berasa tenang dan bahagia. Pergaduhan dapat dikurangkan. Inilah kunci kebahagian yang semua orang hajatkan.


Baca Lagi : http://putera30photographer.blogspot.com/2011/01/kunci-kebahagiaan-rumahtangga.html#ixzz1fTa4XlQA 
Putera30 Photographer 

Memilih Bakal Isteri Menurut Islam


Tahukah anda wahai insan bergelar wanita, betapa sukarnya pada masa ini untuk mencari seorang individu dari kalangan anda untuk dijadikan seorang isteri yang benar-benar solehah iaitu yang baik aspek agamanya. Lalu, sang lelaki kebanyakannya menghadapi kesukaran untuk membuat pilihan antara wanita yang kebanyakan atau harus terus menunggu dalam usaha pencarian wanita solehah sehingga memakan masa yang panjang. Kerana lamanya menunggu kelibat wanita solehah. Kemungkinan wanita solehah ini duduknya sememangnya sentiasa di rumah agaknya. Hakikatnya itulah yang terbaik sebenarnya.


Berikut adalah merupakan sedikit perkongsian yang telah saya selidiki dan perolehi daripada beberapa buah buku yang mana dengan harapan boleh dijadikan rujukan sama ada buat si pemuda atau perempuan umumnya.

Kepada si lelaki, mungkin tulisan ini mampu menjadi rujukan dalam usaha membuat penilaian terhadap karektor seorang wanita yang baik yang harus dipilihnya.

Manakala, bagi seorang perempuan, mungkin boleh dijadikan sebagai panduan untuk memperbaiki diri agar anda sentiasa tergolong dalam rangkaian dan barisan wanita yang solehah dan bakal dipilih oleh juga pemuda yang soleh. insyaALLAH.. .

Dalam persoalan ini, apabila seorang pemuda telah menemukan atau hendak menemukan seorang calon isteri yang dipandangnya sepadan dan berkenan di hati, hendaklah ia memeriksa sifat yang terpuji dan kriteria pegangan agama yang ada padanya. Janganlah kita hanya memfokuskan semata-mata kepada karektor duniawi, kekayaan, kecantikan dan kedudukan. Kerana di dalam suatu hadis Rasulullah s.a.w., seseorang wanita itu sebaiknya dipilih untuk dinikahi adalah kerana berdasarkan agamanya yang baik dan bukannya karena karektor selainnya.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia berkata: Rasulullah bersabda:

“Wanita dinikahi karena empat perkara; karena hartanya, karena kedudukannya/ keturunannya, karena kecantikannya dan keranan agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858))

Ini kerana, dengan karektor agama yang baik inilah sebenarnya ia mencakupi segala faktor-faktor yang lainnya. Dengan aspek agama yang baik ini, keindahan akhlaknya terserlah, kecantikannya terjaga dan terpelihara, malahan martabat dan kehormatannya berbanding wanita di kancah masyrakat kebanyakan juga tinggi nilainya.

Secara umumnya, mereka yang baik agamanya dan lebih taqwanya adalah mulia dan dipandang tinggi di sisi Allah s.w.t.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu...” (al-Hujuraat 49: 13)

Sahabat-sahabat yang saya sayangi, di sini ingin saya nyatakan bahawa faktor atau aspek kecantikan itu bukanlah tidak diperlukan. Tetapi yang ingin saya maksudkan adalah janganlah sehingga kita membataskan semata-mata keinginan kita kepada kecantikan, kerana ia bukanlah prinsip yang dianjurkan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam persoalan pemilihan pasangan Isteri.

Dalam hal ini, Sheikh al-‘Azim Abad di dalam kitab ‘Annul Ma’buud Syarh Sunan Abi Daud, ada menyatakan bahawa yang sewajarnya dipilih adalah wanita yang baik agamanya dan memiliki adab yang baik agar kelak berupaya menjadi pertimbangan kepadanya dalam pelbagai urusan kehidupan, terutamanya dalam urusan rumahtangga. Oleh kerana itu, Nabi s.a.w. memerintahkan supaya mencari wanita beragama yang merupakan puncak kepada pencarian (keutamaan pilihan).

Dengan merujuk pula kepada firman Allah s.w.t. berikut:

“Maka wanita yang solehah, ialah yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) ketika suaminya tiada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka)." (Surah an-Nisaa’ 4: 34)

Sufyan ats-Tsauri berkata (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dalam Tafsirnya (5/38) dengan sanad yang shahih): Kalimah “Qaanitaat” membawa maksud wanita yang taat kepada Allah dan kepada suaminya.”

Nabi pernah ditanya tentang sebaik-baik wanita, yang mana Baginda bersabda:

“Iaitu yang taat apabila diperintah, yang menyenangkan apabila dipandang serta menjaga diri dan harta suaminya.” (Hadits bertaraf sahih, diriwayatkan oleh imam Ahmad (4/341))

Bertepatan dari anjuran hadis Rasulullah ini, maka keutamaan kita dalam memilih calun isteri adalah menjurus kepada wanita yang baik urusannya dalam menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya, sama ada ketika berada di sisi suami, keluarga ataupun di ketika waktu ketiadaan suaminya, secara zahir dan batin yang didasari hati yang bersih serta suci lantaran kesan pegangan agamanya.

Dari kalangan tabi’in, Qatadah bin Di’aamah As-Saduusi pula berkata: “(Wanita yang septutnya menjadi pilihan) Adalah yang menjaga apa-apa yang telah Allah serahkan agar dijaga dari hak-hak suaminya. Menjaga dirinya saat suaminya tidak berada di sisinya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (5/39) dengan sanad yang shahih)

Telah disebutkan di atas tentang sifat sebaik-baik wanita iaitu,

“Serta menjaga diri dan harta suaminya.”

Abdullah bin Amru r.a. berkata: “Mahukah kalian aku beritahu tentang tiga jenis manusia yang celaka:

(iaitu) Imam yang zalim, bila engkau berbuat baik kepadanya ia tidak berterima kasih, jika engkau berbuat salah kepadanya ia tidak memaafkan. Tetangga/jiran yang jahat, jika ia melihat kebaikan padamu ia tutup-tutupi, jika melihat keburukan padamu ia menyebarkannya. Isteri yang buruk tabiatnya, jika engkau berada di sisinya ia membuatmu gusar/tidak senang. Dan bila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al-Mushannaf (3/559) dengan sanad yang shahih)

Seterusnya, carilah wanita yang memiliki sifat-sifat yang penyayang. Semua ini mampu memberi infect atau kesan yang baik kepada anak-anak kelak serta kepada hati suami yang utamanya. Dalam hal ini,

Nabi s.a.w bersabda: “Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kalian yang banyak di hadapan umat-umat lain pada hari Kiamat.” (Hadis Sahih, diriwayatkan oleh al-Khathib al-Baghdaadi dalam Tarikh Baghdad (12/377))

“Sebaik-baik wanita yang menunggang unta adalah wanita-wanita yang solehah dari suku Quraisy, mereka adalah wanita yang paling sayang kepada anak-anak sewaktu masih kecil dan yang paling menjaga hak dan harta suami.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhaari (3/240))

Begitulah sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. sendiri perihal keutamaan sikap penyayang pada seorang wanita. Dengan sifat inilah, anak-anak nantinya mampu dididik dengan baik dan penuh perhatian serta kasih sayang seorang ibu. Di sana, peranan ibu adalah suatu keutamaan yang besar sebagai pendidik awal setiap anak-anak yang dilahirkan di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Dari sinilah bermulanya jati diri anak-anak dibentuk untuk menjadi manusia yang baik di masa hadapan. Dengan gabungan faktor kesolehan seorang wanita yang di-adun dengan sikap amanah, berilmu dan kasih sayang seorang wanita, sudah pasti sesebuah rumahtangga mampu menjadi suatu medan atau institusi yang berkesan dalam melahirkan masyarakat yang islamic dan berdaya maju dari konteks tauhid, ubbudiyyah, mu’amalah, dan material.

Dari sifat yang penyayang juga, ia berupaya melahirkan sikap yang menyenangkan. Dan kriteria ini jugalah yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana dalam hadisnya tadi, iaitu

“...yang menyenangkan apabila dipandang...”

Peribadi wanita yang bersifat menyenangkan ini apabila dipandang dan bergaul dengannya mampu menjadi penenang dan penunduk hati suami dan keluarga dalam pelbagai urusan rumahtangga. Sifatnya yang elok dipandang mampu mengawal hati suami dan kelak kepada anak-anak untuk sentiasa berperasaan suka dan mendamaikan suasana. Lantas melahirkan satu persekitaran yang harmoni di dalam sesebuah kekeluargaan.

Di samping sifat penyayang dan peribadi yang menyenangkan, faktor untuk mencari wanita yang mampu melahirkan anak yang baik atau faktor kesuburan juga adalah merupakan salah satu kriteria yang dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.

“Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang lagi subur...”

Dari sudut ini, kelangsungan hidup manusia dan generasi soleh/solehah akan dapat diteruskan melalui kelahiran zuriat-zuriat yang baik. Lantas, dari zuriat yang soleh/solehah (muslim ini) ia berupaya untuk menjaga aspek keturunan dari generasi ke generasi untuk membentuk masyarakat yang menegakkan syari’at Allah, meninggikan agama, memakmurkan alam semesta, dan memperbaiki kehidupan di muka bumi. (Rujuk: Menjaga Kehormatan Muslimah, sheikh Bakr Abdullah Abu Zaid, Daar an-Naba', m/s. 150-151)

Dari sini juga, kita dapat melihat betapa besarnya peranan wanita kepada ummah dan masyarakat sejagat dalam membina ketamadunan dunia. Wanita sebenarnya adalah merupakan akar umbi dan tonggak kepada pelbagai kejayaan generasi manusia.

Jika dilihat kepada sirah di zaman nabi dan para sahabat. Ibu-ibu yang tempatnya di rumah yang mana kefahaman agamanya baik-baik, merupakan faktor yang yang menjadi tonggak kejayaan masyarakat pada zaman itu. Dari didikan seorang wanita yang solehah, lahirnya ramai sekali panglima-panglima perang yang gagah perkasa dan bijaksana dalam mengatur pelbagai strategi ketenteraan. Malah, mampu membina generasi yang handal di medan tempur dan melahirkan para syuhada yang ikhlas dan tulus perjuangannya kepada agama Allah. Dengan didikan para ibulah, lahirnya ramai golongan ulama atau ilmuan tersohor yang sentiasa disebut-sebut namanya sehingga kini.

“Dan para wanita itu mempunyai hak yang seimbang seperti kewajiban yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang ma’aruf (dan tidak dilarang oleh syara’); Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Dari sini juga kita dapat melihat bagaimana terjalinnya hubungan antara kelebihan kaum wanita dengan kekuatan kaum lelaki sehingga keduanya akan saling melengkapi dengan masing-masing diberikan keistimewaan, keutamaan, dan tanggungjawab masing-masing.

“Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Baqarah 2: 228)

Anjuran Rasulullah s.a.w. yang seterusnya adalah difokuskan kepada gadis-gadis yang perawan/dara iaitu yang masih belum pernah berkahwin;

Ini adalah berdasarkan hadis Jabir bin Abdillah, ia berkata: “Aku baru saja menikah.

Lalu Rasulullah bertanya: “Dengan siapa engkau menikah?”

“Dengan seorang janda.” Jawabku.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Mengapa tidak dengan seorang gadis yang boleh engkau dapat bermain-main dengannya dan dia pun dapat bermain-main denganmu.”

Atau dalam riwayat yang lain beliau mengatakan: “Yang ia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira.” (Hadis Riwayat Bukhari (111/240) & Muslim (11/1078))

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, di dalam Syarah Sahih Muslim (10/294): “Hadits ini menjelaskan tentang kelebihan menikahi gadis perawan/dara, dan menunjukkan bahawasanya menurut keutamaan menikahi mereka adalah lebih baik.”

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w., beliau bersabda: “Nikahlah dengan gadis perawan, kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya, dan lebih redha dengan yang sedikit.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, (no. 1861) di dalam kitab an-Nikah)

Dalam persoalan ini, dapat dibezakan di antara wanita yang janda dengan yang gadis kerana mungkin sahaja wanita yang janda ini sudah memiliki anak yang perlu dijagai dan memerlukan lebih perhatian kepada anaknya. Selain itu, mungkin juga dia sudah beberapa kali hamil dan akan memiliki kebarangkalian keletihan untuk hamil lagi dan memiliki hasrat untuk tidak mahu memiliki anak lagi. Mungkin juga ia mampu mengganggu hubungan seksual suami dan isteri kerana kebiasaannya wanita yang berstatus janda tidak cukup dengan hubungan/layanan yang sedikit. Berbeza dengan gadis yang masih belum pernah berkahwin, ia lebih mudah terangsang dan redha dengan layanan yang sedikit. (Rujuk: Indahnya Menikah ‘Ala Sunnah Nabi, Amru Abdul Mun’im Salim, Daar an-Naba’, m/s. 52)

Akhir sekali, suatu yang perlu di-ambil perhatian. Bahawasanya Allah dan Rasul-Nya melarang lelaki ataupun sebaliknya untuk menikahi atau mengahwini pasangan yang terdiri dari kalangan penzina. Tetapi pilihlah wanita yang mulia, suci dan terjaga kehormatannya sebagaimana yang dinyatakan di awal tulisan ini tadi,

“...yang ta’at kepada Allah lagi memelihara dirinya (kehormatannya) .” (an-Nisa’ 4: 34)

Persoalan ini juga dijelaskan oleh Allah s.w.t. sebagaimana di dalam firman-Nya yang berikut:

“Laki-laki yang berzina tidak mengawini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikawini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” (an-Nuur 24: 3)

Dalam suatu riwayat, sebelum turunnya ayat ini seorang sahabat bernama Abu Martsad al-Ghanawi r.a. datang menemui Rasulullah s.a.w. meminta restu/keizinan untuk menikahi seorang wanita pelacur yang dahulunya semasa jahiliyyah adalah bekas kekasihnya (wanita itu bernama ‘Anaq). Dan sehinggalah turunnya ayat di atas (Surah an-Nuur 24: 3) Rasulullah s.a.w. menjelaskan “Jangan dinikahi wanita itu!” (Diriwayatkan oleh imam yang empat kecuali Ibnu Majah)

Ini antaranya adalah kerana wanita penzina dan pelacur itu boleh mengganggu urusan kebahagian sesebuah rumahtangga dan institusi kekeluargaan pasangan suami isteri. Malah status pelacur/penzina ini sendiri menurut Ibnu Umar r.a. adalah merupakan antara manusia yang celaka sebagaimana riwayat ini (telah dijelaskan di awal tulisan), “wanita yang apabila engkau tidak berada di sisinya ia berkhianat.”

Manakala menurut Hasan al-Basri rahimahullah; “Tidaklah halal dinikahi wanita penzina dan wanita simpanan.” (Diriwayatkan oleh Sa’id bin Mashur dalam as-Sunan (5/8) dengan sanad yang sahih)

Adapun begitu, andainya dia (wanita yang awalnya seorang penzina) merupakan dari kalangan wanita yang sudah bertaubat dan sudah meninggalkan perbuatan pelacuran, maka keharaman itu terhilang dan termansuh sebagaimana menurut Abdullah bin Abbas r.a.: “Awalnya zina akhirnya nikah, awalnya haram akhirnya halal.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah (3/529) dengan sanad yang sahih)

Dan daripada firman Allah s.w.t.:

"...kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (an-Nuur 24: 5)

Shilah bin Asyyam rahimahullah berkata: “Tidak mengapa menikah keduanya samaada wanita atau pemuda dengan penzina yang telah bertaubat kepada Allah. Allah lebih berhak menerima taubat keduanya. Jika keduanya adalah penzina dan belum bertaubat, maka lelaki yang buruk pasangannya juga adalah dengan wanita yang buruk pula. (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi syaibah (3/528) dengan sanad yang sahih)

Sebagai kesimpulan, membuat pilihan calon isteri bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Ia amat berat pada hakikatnya kerana ia bakal menjaga urusan dalam kekeluargaan yang diketuai oleh seorang lelaki bernama suami. Dan bakal menjadi pembimbing anak-anak atau zuriat yang kelak bakal dilahirkan. Kriteria-kriteria yang baik berserta kebijaksanaan dalam pelbagai bidang ilmu tertentu dan persoalan keagamaan perlu dilihat sebagai keutamaan supaya segala perjalanan kehidupan di masa mendatang bakal ter-urus dengan baik dan tersusun. Supaya kelak, kehidupan anda bersama keluarga bakal mengecapi suasana yang aman bahagia dan tenteram. Lantas mampu melahirkan masyrakat yang berhubungan dengan harmoni.

Antara ciri-ciri yang lain bagi calon isteri yang baik secara umum adalah seperti berilmu, sentiasa bersyukur, tahu menjaga hubungan yang baik dengan kaum keluarga kedua belah pihak, memiliki daya kepimpinan terhadap pengurusan rumahtangga dengan baik, memahami kehendak/keperluan suami, batas pergaulannya terjaga, dan sentiasa menjaga penampilan yang baik.

“Kebahagiaan manusia ada tiga: Wanita yang solehah, tempat tinggal yang baik, dan kenderaan yang baik. Sedangkan kesengsaraan manusia ialah: Wanita yang buruk (perangainya) , tempat tinggal yang buruk, dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Ahmad (1/168), dengan sanad yang sahih)

Dan mereka berkata (berdoa): "Wahai Tuhan kami, anugerahilah kepada kami isteri-iesteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati kami, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Furqan 25: 74)

Dan sebaik-baik wanita itu adalah mereka yang soleh dalam agamanya, sebagaimana hadis berikut:

“Dunia itu seluruhnya adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab ar-Ridha)

InsyaALLAH, artikel seterusnya akan bersambung dengan tajuk:

“Memilih Calun Suami Anjuran Rasulullah s.a.w.

Wednesday, 30 November 2011


senyumlah sayang...

senyumlah sebagai tanda redha...moga engkau selalu begini...



senyumlah sayang, senyumlah diri,
di saat keperitan hidup menggigit diri,
di saat kepahitan silam menghantui,
sedarlah engkau sedang diuji,
kerana engkau bukan dianiayai,
tapi sedang di sayangi,
oleh Dia yang menguasai langit dan bumi.


senyumlah sayang, senyumlah diri,
syukurlah andai dirimu Allah uji,
jangan menyerah jangan berhenti,
kerana peluang hanya sekali,
jangan sebelum ajal engkau mati.


senyumlah sayang, senyumlah diri,
ingat janjiNya yang tidak akan dimungkiri,
yakinlah, keperitan itu akan pergi,
dan kebahagiaan itu sedang menanti,
walau mungkin bukan di sini,
kerana dunia ini bakal dimusnahi,
akhirat juga yang kekal abadi.

Mengapa manusia di uji?




Manusia di uji untuk menyerlahkan nilai dirinya di sisi Tuhan. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita. Iman dan ujian saling berkaitan. Apabila di uji baruah diketahui apakah hati kita telah yakin (beriman) atau masih ragu-ragu.

Firman Allah S.W.T:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum di uji?” (Al-Ankabut ayat 2)

Sungguhpun begitu Tuhan menguji manusia atas sebab-sebab yang berbeza. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:
“Ujian yang berlaku kepada menusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.”



Tiga sebab mengapa Allah menguji manusia:


KIFARAH

Kifarah adalah ujian ke atas orang yang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia di uji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai ‘tebusan’ untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya didunia untuk melepaskannya daripada balasan di akhirat(neraka). Ini adalah lebih baik kerana azab di dunia adalah lebih ringan berbading azab di akhirat. Dengan kifarah, ‘orang baik’ itu akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu bertaubat kepada Allah.

Firman Allah SWT;
“Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.” (Az-Zukhruf ayat 48)


BALA

Yakni ujian ke atas orang jahat yang sedang melakukan kejahatan. Allah jadikan ujian itu sebagai hukuman di dunia sebelum dihukum di akhirat dengan hukuman yang lebih hebat dan dasyat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan di dunia lagi sebelum di azab di neraka. Mereka akan di azab dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas ‘orang jahat yang sedang melakukan kejahatan’. Umat Nabi Nuh ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditelan laut Merah, Qarun ditelan bumi, kaum Add, Tsamud oleh hujan batu dan bencana alam yang lain.

Firman Allah SWT;
“Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (At-Taubah ayat 74)


IBTILA’

Ini ujian ke atas orang baik ketika mereka sedang melakukan kebaikan. Ia adalah tanda kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan di tinggikan pula darjatnya di sisi Allah. Jika tidak di uji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha, pemaaf, qanaah dari Allah? Maka dengan ujian bentuk inilah ada kalangan pada Ulul Azmi-yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.

Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas ‘orang baik yang sedang melakukan kebaikan’. Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada’ dan solehin adalah mereka yang sentiasa di uji dalam bentuk ibtila’ ini.

Firman Allah SWT;
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Al-Baqarah ayat 214)



Penutup: Lihatlah dengan mata hati

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Al-Baqarah ayat 155 dan 156)

Ujian Allah, hanya orang-orang beriman yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di sebalik ujian yang menimpa itu. Berkata seorang ahli hikmah, Ibnu Ataillah Askandari, “Barangsiapa yang menjangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdirNya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Yakinlah ujian itu sebagai satu sunnatullah(peraturan Allah) yang tiada sesiapapun dapat menghindarkannya. Hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Firman Allah;
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”(Al-Mulk ayat 2)

Oleh itu, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negative kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Bila di uji, sedarlah, insaflah… sekurang, kurangnya kita mesti merasakan kita sedang di uji dengan kifarah. Dengan itu, kembalilah kepada Allah… segerakan taubat pada-Nya.

Lihat sikap Rasulullah SAW, walaupun Baginda tidak berdosa, tetapi oleh kerana gentarnya terhadap seksaan dari Allah, baginda akan bergegas ke masjid setiap kali hujan rebut atau angin kuat melanda. Di masjid Baginda akan bersembahyang dan berdoa untuk keselamatan diri dan umatnya daripada bala bencana yang mungkin datang bersama rebut dan angin kuat itu.

Bila di uji, sabarlah… renungkan… lihatlah dengan mata hati…

"Sesungguhnya sangat mengkagumkan seorang mukmin, sebab segala keadaannya
adalah baik, dan mungkin tidak terjadi yang demikiankecuali bagi seorang
mukminyang jika dia mendapat nikmat dia bersyukur, maka syukur itu sangat baik
baginya dan bila menderita kesusahan dia bersabar, maka sabar itu sangat baik
baginya". (Hadith riwayat Muslim)

Ujian Allah, bagi yang berdosa, ia merupakan kifarah untuk mengingatkan kelalaian. Bagi yang taat, mendapat ibtila’ itu meningkatkan darjat. Yang penting bukanlah apa yang telah berlaku, tetapi apa yang harus kita lakukan(bertindakbalas) terhadap ujian itu.

Allah sering mengingatkan manusia dengan ‘melontarkan’ batu-batu kecil, tetapi jika peringatan itu diabaikan, Allah akan mula ‘melontar’ dengan batu-betu besar. Dan jangan tunggu dihempap gunung, baru hendak berubah. Semoga takdir-Nya(ujian Allah) itu akan menyebabkan tadbir kita lebih bijaksana. 

Sabda Rasulullah SAW;
“Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya(tahu besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

 moga hatimu semekar bunga itu...


Tuesday, 29 November 2011


Mungkin TIPS-TIPS AWAL di bawah ini dapat membantu untuk memulakan langkah;

1) Mulakan dengan memakai stokin kaki & sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung.Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar. 
2) Cari & sertailah kumpulan usrah yang benar. yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. insyaAllah.
3) Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu sepertikuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.
4) Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asasseperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh semua ini seiring).
5) Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur(mengkaji) maknanya. Tidak ada gunanya pembacaan al-Quran tanpa memahami isinya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib. :)
6) Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha(mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.
7) Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.


contoh 1: Tudung Akel bidang 50.


Contoh 2: Pashmina (selendang menutupi dada & tidak jarang)

8) Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudungTudung Turki/Mesir/Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung.Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ) ^ ^


Sajak Cinta Buatmu Bakal Kekasih.



Buatmu yang ku nanti dengan penuh kesabaran & penuh tawakal-lillah..

Sajak Cinta Buatmu Bakal Kekasihku Yang Doaku Kini Sedang Damai Dalam Kasih & Sayang Allah...


Dengan Nama Allah, 
Ku mulakan kalam cinta ini..

Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
tidaklah semestinya manusia juga cinta kepada kita.

Tetapi sekiranya,
Kita cinta kepada Allah,
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya...

Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
Kita akan cemburu kepada orang yang mencintai dia yang kita cintai.

Tetapi sekiranya,
Kita cinta kepada Allah,

Nescaya,
Kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cinta & jiwanya kepada Allah juga...


Subhanallah! 
Begitulah indahnya cinta Hakiki,
Cinta yang membuahkan bahagia berpanjangan..
Keindahan & keharuman sepanjang jalan..

Ya Allah,
Andainya dia adalah jodoh,
Yang ditetapkan olehMu untukku,

Maka,
Campakkanlah ke dalam hatiku,
Cinta kepadanya adalah kerana cintaku kepadaMu,
Dan campakkanlah ke dalam hatinya,
Cinta kepadaku yang juga bersandarkan hanya keranaMu.

Namun,
Andainya dia bukanlah jodoh,
Yang ditetapkan olehMu untukku,

Maka,
Berikanlah aku kekuatan padaku untuk pasrah,
Dalam mengharungi ujian yang Kau berikan kepadaku..

Sesungguhnya Allah..
Ku harapkan cinta sesama insan ini,
Bersandarkan kepada tautan redha & kasihMu ya Tuhan...

Kerna apalah adanya pada cinta yang bertaut tanpa redhaMu.
Kaku, kosong, hambar & lesu seiring pudarnya rasa cinta palsu.
Cinta yang penuh beralasan..

Bahkan cinta yang bersatu kerana ada diriMu,
sebagai pengantaranya,
Itulah sebaik-baik pilihan,
Kerana Engkaulah sebaik-baik tempat bersandar,
Tempat memohon pertolongan,
Dalam meniti titian yang rapuh,
& penuh beronak duri ini.

Tanpa iman, takwa & mahabatullah,
Akan tersungkurlah cinta itu..
Sebelum sempat dipersembahkan kepadaMu..

Sesungguhnya ku harapkan cinta yang halal ini.
Semata-mata kerana ingin menyempurnakan keimanan & ketakwaan. 
Juga ku harapkan cinta yang berkah ini..
Untukku bawa dalam perjalanan menemuiMu wahai Tuhan..

Namun,
siapalah aku untuk menafsir ketentuan..
Sedangkan aku beriman padaMu,
& sangat yakin..
KetentuanMu adalah yang terbaik..

Daripada suratun-Nur, surah ke 24, ayat ke 26: Dan Maksud firmanMu ya Allah;

"Perempuan-perempuan yang keji [penzina] untuk lelaki-lelaki yang keji [penzina], & lelaki-lelaki yang keji [penzina] untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), 
Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, & lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang. Mereka memperolehi ampunan Allah & rezeki yang mulia [yakni syurga]."

Izinkanlah aku ya Allah.. 
Untuk menjadi pencintaMu yang solehah... 
& memperolehi cintaMu.. 
& bertemuMu & rasulullah SAW..

Dalam raudhah jannahMu yang indah itu..



Mudah-mudahan Allah meredhai..

Allahu 'alam..